Tuesday, August 13, 2013

HARI RAYA SAAT BERGEMBIRA !

Bersyukur kepada ALLAH SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapat sama-sama kita menjalani ibadah sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini dan insyaAllah kita akan menyambut hari lebaran Idul Fitri dalam beberapa hari lagi.
Lebaran yang dianugerahkan oleh ALLAH kepada seluruh Umat Islam, di mana apabila Nabi SAW tiba di Madinah Al-Munawwarah, Baginda melihat golongan Ansar bergembira dan menyambut dua hari raya. Dua hari raya mereka itu dipersoalkan oleh Nabi SAW. Baginda bertanya, mengapa kamu bergembira dengan dua hari itu? Kata mereka, ini adalah dua hari yang mana nenek moyang kami bergembira dan menyambutnya. Hari yang dimaksudkan adalah hari perayaan kaum Majusi kuno iaitu Nairuz dan Mahrajan.
Lalu Rasulullah SAW bersabda kepada mereka, “Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kalian dua hari yang lebih mulia dari dua hari itu iaitu Hari Raya Korban (Idul Adha) dan Hari Raya Fitrah (Idul Fitri).” (Sahih. Riwayat Ahmad)
Maka pada kedua-dua hari ini, umat Islam dituntut untuk bergembira. Persoalannya, bagaimanakah kaedah untuk kita bergembira? Kita perlu ingat bahawa kegembiraan pada hari raya fitrah ini adalah satu tuntutan oleh Allah SWT dan RasulNya SAW. Jadi perlu kita pastikan kaedah perlaksanaan kegembiraan itu disesuaikan dengan perintah Allah dan RasulNya.
Pertama, Allah SWT nyatakan di dalam Al-Quran di dalam surah Al-Baqarah ayat 185, “Dan hendaklah kamu sempurnakan hari-hari itu (hari berpuasa) dan hendaklah kamu bertakbir kepada Allah (membesarkan Allah) atas petunjuk yang diberi kepadamu agar kamu tergolong di kalangan orang yang bersyukur.” (Surah Al-Baqarah, 2: 185)
Dari ayat ini, dapat kita fahami bahawa kaedah untuk bergembira pada hari raya ini bukanlah dengan nyanyian, sebaliknya adalah dengan bertakbir, mengucapkan lafaz-lafaz yang membesarkan dan memuji Allah SWT. Lafaz-lafaz ini telah diajar oleh para Sahabat RA dalam beberapa lafaz, antaranya:
Lafaz takbir yang diajar oleh Ibnu Abbas: “Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahil Hamd, Allahu Akbar wa Ajallu, Allahu Akbar ‘ala ma Hadaanaa.” (Sahih. Riwayat Al-Baihaqi)
Lafaz takbir yang diajar oleh Abdullah Ibnu Mas’ud: “Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Laa Ilaaha illAllah, Allahu Akbar wa Lillahil Hamd.” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah)
Lafaz takbir yang diajar oleh Salman Al-Farisi: “Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbaru Kabiira.” (Sahih. Riwayat Abdurrazzaq dalam Al-Musannaf)
Juga terdapat lain-lain lafaz yang sahih dan boleh dirujuk dalam tulisan para Ulama antara oleh Syaikh Ali Hasan Al-Halabi dalam bukunya yang berjudul “Berhari Raya Mengikut Sunnah Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam”. Beliau telah menyenaraikan beberapa lafaz takbir yang dilafazkan oleh para sahabah ra. pada hari raya.
Kedua, sunnah Nabi SAW pada pagi hari raya fitrah adalah Baginda SAW menunaikan zakat fitrah sebelum solat Hari Raya. Ini adalah tuntutan Islam yang juga merupakan sunnah Nabi SAW. Bukan kita mengatakan tidak boleh mengeluarkan zakat fitrah awal, tetapi tuntutan sunnah lebih afdhal dan lebih utama sekiranya kita mampu mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya.
Ketiga, menyiapkan diri dalam ertikata mandi tanpa ada lafaz niat tertentu, kemudian memakai wangi-wangian bagi lelaki dan memakai pakaian yang terbaik yang kita miliki. Tidak semestinya kita memakai pakaian yang baru. Betapa indahnya perkataan Nabi SAW, Baginda tidak mengatakan supaya memakai pakaian baru, tetapi Baginda menyuruh memakai pakaian yang terbaik. Tidak ada masalah untuk memakai pakaian yang terbaik dari tahun-tahun terdahulu dan ini juga termasuk di dalam sunnah.
Keempat, setelah berhias dengan memakai pakaian terbaik dan memakai wangi-wangian bagi lelaki, pada hari raya fitrah secara khasnya kita dituntut untuk makan terlebih dahulu sebelum keluar menuju ke tempat solat Hari Raya. Berbeza dengan Hari Raya Korban di mana kita dituntut makan selepas pulang dari solat, makan dari sembelihan kita sendiri.
Setelah makan, Nabi SAW berjalan menuju ke musolla yakni tanah lapang tempat diadakan solat Hari Raya. Dalam perjalanan itu Baginda bertakbir. Jadi kita perlu bermuhasabah, kadangkala kita lalai dan memperdengarkan kepada kaum keluarga kita lagu-lagu raya, bahkan sebelum raya lagi sudah banyak lagu-lagu raya dikumandangkan. Sedangkan hari raya adalah masanya kita dituntut untuk memperbanyakkan takbir mengagungkan dan memuji ALLAH SWT, malah kita dituntut menguatkan suara ketika bertakbir dan sunnahnya takbir dilaungkan secara individu dan bukan berjemaah.
Semua umat Islam dituntut untuk keluar ke tempat solat baik lelaki mahupun perempuan, bahkan wanita yang haid serta kanak-kanak juga diperintahkan ke tempat solat. Juga diperintahkan dalam hadis supaya memberi pinjam tudung atau hijab kepada wanita yang tidak memilikinya supaya seluruh Umat Islam dapat berkumpul pada masa solat Hari Raya dikerjakan. Umat Islam harus memberi perhatian serius terhadap hal ini.
Daripada Ummu Athiyah ra. dia berkata, Rasulullah SAW memerintahkan kami keluar pada Idul Fitri dan Idul Adha, baik wanita yang baru baligh, wanita haid, mahupun gadis yang dipingit. Adapun wanita haid, mereka memisahkan diri dari tempat pelaksanaan solat dan mereka menyaksikan kebaikan serta dakwah kaum Muslimin. Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, seorang dari kami tidak memiliki jilbab.’ Baginda bersabda, ‘Hendaklah saudarinya meminjamkan jilbab kepadanya. (Al-Bukhari dan Muslim)
Kita juga dituntut menggunakan jalan yang berbeza ketika pergi dan pulang dari tempat solat. Hal ini disebut dalam atsar sahabat Nabi SAW yang menceritakan bahawa Nabi memilih jalan berbeza ketika perjalanan pergi dan pulang, supaya boleh bertemu dengan lebih ramai di kalangan manusia, mengucap syukur dan memuji ALLAH SWT serta menampakkan kegembiraan.
Selesai solat Hari Raya, Nabi SAW akan berkhutbah, bukan seperti khutbah Jumaat tetapi lebih berbentuk nasihat kepada kaum Muslimin agar bersyukur dan memuji ALLAH SWT.
Maka dengan itu selesailah sunnah-sunnah di pagi raya. Adapun amalan masyarakat memohon kemaafan dan sebagainya, itu hanyalah adat masyarakat kita. Adapun dalam Islam, apabila melakukan kesalahan kita dituntut cepat-cepat memohon kemaafan, jangan ditunda-tunda kerana kita tidak tahu bilakah kita akan mati. Maka apabila ada kesilapan dan kesalahan, jangan ditunda sehingga hari raya. Pada hari ini juga kita dituntut memohon kemaafan. Adapun adat ini dari semasa ke semasa kita berusaha untuk memahamkan masyarakat tentangnya.
Demikianlah sunnah-sunnah Rasulullah SAW di pagi raya yang boleh kita praktikkan demi merealisasikan firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu sempurnakan hari-hari itu (hari berpuasa) dan hendaklah kamu bertakbir kepada Allah (membesarkan Allah) atas petunjuk yang diberi kepadamu agar kamu tergolong di kalangan orang yang bersyukur.” (Surah Al-Baqarah, 2: 185)
Maka buktikan kesyukuran kita kepada ALLAH SWT dengan mengikuti sunnah-sunnah RasulNya di pagi raya yang akan menjelang beberapa hari lagi. Semoga amal kebaikan yang kita kerjakan diterima oleh ALLAH SWT dan mudah-mudahan kita semua tergolong di kalangan hambaNya yang bersyukur.
Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuwan Malaysia

No comments:

Post a Comment